Berunei Darussalam (iainptk.ac.id) – Rektor Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Prof. Dr. H. Syarif, S.Ag. MA., melakukan lawatan kepada Mufti Kerajaan Berunei Darussalam, Yang Mulia Prof. Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz di Kantor Jabatan Mufti Kerajaan. Ikut menyertai Rektor, Wakil Rektor (Warek) III, Dr. Ismail Ruslan, M.Si., dan Direktur Pascasarjana, Prof. Dr. H. Zainudin, MA.
Dalam lawatan itu, Prof Syarif menyebutkan dan menyampaikan kepada Mufti bahwa kedatangannya kepada Mufti dilatarbelakangi oleh penyampaian Ucaptama oleh Mufti di hadapan Yang Maha Mulia Sulthan Brunei Darussalam pada pembukaan Konferensi Antarbangsa Islam Borneo (KAIB) di Gedung Internatuional Conference Center.
Juga dilatar belakangi oleh isi Ucaptama Mufti sangat menyentuh hati bahwa mufti menyampaikan uraian tentang sisi dalam (dalaman dalam bahasa Brunei) ajaran Islam.
Gugahan tentang kedermawanan bagi para empunya dengan uraian para sahabat Nani yang kaya raya namun kekayaannya dihabiskan untuk diinfaqkan di jalan Allah.
Juga uraian tentang palestina yang sangat menyentuh hati dan membangkitkan gairah untuk penguatan empati bagi rakyat Palestina.
Prof Syarif berbincang juga tentang tentang manuskrip yang diuangkap Sulthan saat menyampaikan titah pada acara pembukaan KAIB. Mufti menyampailan bagitu banyak manuskrip yang tersimpan di balai hazanah pada Jabatan Mufti Kerajaan.
Balai Hazanah dibawah tanggung jawab Jabatan saya, ungkap Mufti. Menurut Mufti manuskrip yang banyak itu berbahasa Arab dan Melayu bertulis tangan asli, dan sampai sekarang belum bergerak, atau belum banyak disentuh baik untuk dikaji maupun diteliti.
“Yaah, hanya saja saya sendiri yang membuka-buka manuskrip dan membacanya,” ujarnya.
Berikut isi pembentangan Ucaptama Yang Mulia Mufti di hadapan Sultan di acara KAIB.
Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Ke XV
Ampun beribu ampun
Hamba Kebawah Duli Tuan Patek menjunjung kurnia perkenan untuk menunaikan hajat pihak penganjur bagi hamba Kebawah Duli Tuan Patek membentangkan kertas perdana bertajuk: “Membangun Masyarakat dan Perbandaran Islam yang Mampan”. Kurnia perkenan yang sama juga dijunjung untuk hamba Kebawah Duli Tuan Patek menyampaikan pembentangan ini dalam bahasa biasa sebagai kemudahan jua.
Para hadirin yang dihormati
Membangun masyarakat bererti membangun manusia. Bagaimana membangun manusia itu? Jika membangun bangunan, kita akan menyiapkan tapaknya, menyiapkan reka bentuknya, bahan-bahan binaan dan sebagainya. Tetapi membangun manusia tidak berhajat kepada tapak, kepada reka bentuk dan bahan-bahan binaan. Kerana kalau membangun manusia, yang dibangun itu ialah dalamannya: jiwanya, semangatnya, akhlaknya, pemikirannya, akidahnya dan imannya.
Perkara ini telah dicontohkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda membangun manusia disekelilingnya, bukan membangun batang tubuh untuk jadi kuat, atau membangun untuk dapat makan makanan-makanan lazat, atau membangun untuk dapat pakai pakaian yang mahal-mahal, atau membangun untuk dapat diam di rumahrumah mewah, bukan! Tetapi Baginda membangun jiwa, membangun semangat, membangun sikap, membangun akidah dan membangun iman. Baginda melancarkan reformasi dari masyarakat yang miskin akhlak dan tidak beriman, kepada masyarakat berakhlak mulia dan beriman. Baginda membangun semua ini bukan dengan benda, tetapi dengan La Ilaha Illallah dan dengan al-Qur’an, dengan Tauhid, sehingga hasil dari pembangunan itu telah:
Melahirkan peribadi-peribadi besar luar biasa, seperti Sayyidina Abu Bakar asy-Syidiq radhiallahu anh yang pernah menjadi orang kaya, tetapi semua hartanya disumbangkan untuk Islam dan untuk membebaskan para hamba sahaya termasuk Sayyidina Bilal bin Rabbah. Ketika Sayyidina Abu Bakar menyumbangkan semua hartanya, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mencelah: “Wahai Abu Bakar, apa saja yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?” Menjawab Sayyidna Abu Bakar: “Saya tinggalkan untuk mereka ialah Allah dan RasulNya.”
Siapa lagi? Sayyidina Umar bin al-Khahatab radhiallahu anh. Tokoh ini sebelum Islamnya adalah seorang penentang paling kuat terhadap Islam. Hatinya umpama batu dan jiwanya umpama api menyala-nyala membenci Islam. Tetapi Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam membangunnya dengan doa: “Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar”. Lalu Allah pun menerima doa Nabi ini, maka Umar pun memeluk Islam. Setelah Umar memeluk Islam, malaikat Jibril ‘alaihissalam datang kepada Nabi dan berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya seluruh penduduk langit bergembira dengan Islamnya Umar.”
Kemudian siapa lagi? Sayyidina Osman bin Affan radhiallahu anh, seorang dermawan di jalan Allah yang tidak ada tolok bandingnya. Beliau juga disifatkan oleh Nabi sebagai paling pemalu dan berakhlak paling mulia kerana tidak pernah menjemah alat kelaminnya dengan tangan kanan, kerana dengan tangan kanan itulah dia menjabat tangan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Siapa lagi? Sayyidina Ali karamahullah wajhah, seorang pemuda yang sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan Nabi dengan mengantikan Nabi di tempat tidur Baginda sebagai usaha untuk mengelirukan musuh yang sudahpun bersedia untuk membunuh Baginda. Siapa lagi? Sahabat Abdurrahman bin Auf, seorang yang terkenal sangat kaya, tetapi tidak pernah menahan hartanya untuk kebajikan. Beliau pernah menyumbangkan barang-barang keperluan untuk penduduk Madina. Barang-barang itu dibawa oleh 700 ekor unta. Bayangkan betapa banyak barang-barang dimuat ke atas 700 ekor unta. Beliau juga menjual tanahnya dengan harga 40 ribu dinar untuk dibahagi-bahagikan kepada kaumnya, kepada isteri-isteri Nabi Ummahatul Mukminin dan kepada para fakir miskin. Dalam satu peperangan (peperangan Tabuk), beliau menyumbangkan 500 ekor kuda perang dan 1,500 ekor unta tunggangan. Begitu juga beliau telah mensedekahkan 400 dinar kepada setiap bekas tetera perang Badr yang masih hidup selamai 100 orang.
Ya, siapa lagi? Sahabat Khalid bin Al-Walid yang digelar oleh Nabi sebagai Saifullah alMaslul (ertinya pedang Allah yang terhunus). Sahabat ini terkenal gagah untuk Islam, pakar menggunakan senjata dan penunggang kuda yang hebat untuk Islam.
Dalam zaman Nabi shallalahu ‘alaihi wa sallam, beliau menyertai ekspedisi jihad melawan musuh dan setelah Nabi wafat, dilantik menjadi panglima perang menentang tentera-tentera Parsi dan Rom. Semua peperangan yang disertai dan diketuainya tidak pernah kalah. Beliau bercita-cita untuk mati syahid tetapi tidak kesampaian, sehingga ketika berada di ranjang maut, beliau menangis, menangis mengenangkan cita-citanya untuk mati syahid tidak terkabul.
Begitu beberapa contoh peribadi-peribadi hebat dalam sejarah, yang dibangun oleh Nabi untuk Islam dan sekaligus untuk ummah dan untuk nagara. Mereka ini meninggalkan pengaruh dan kesan kepimpinan yang tidak mungkin hapus dari lipatan sejarah.
Para hadirin yang dihormati
Sekarang mari pula kita cuba melihat contoh membangun manusia di zaman muthaakhir ini. Perkara ini boleh kita saksikan contohnya di Palestin. Di sana, telah dan sedang berlaku kerja-kerja membangun manusia untuk kelangsungan bangsa, agama dan negara. Menurut buku yang berjudul “Peristiwa Ajaib Pertolongan Allah subhanahu Wa Ta’ala Buat Penduduk Palestin”, telah berlaku pembangunan itu melalui khemah-khemah dan institusiinstitusi mengaji dan menghafaz al-Qur’an. Semua kanak-kanak Palestin disalurkan ke dalam khemah-khemah dan institusi-institusi ini untuk tujuan belajar, membaca dan menghafaz 30 juzuk al-Qur’an.
Mengapakah langkah ini diambil? Menurut buku tersebut: 1. Untuk mengambil berkah dari al-Qur’an, kerana al-Qur’an adalah sumber kekuatan luar biasa, di mana siapa yang membacanya akan mendapat bekalan kekuatan dalaman untuk menghadapi musuh. 2. Kanak-kanak Palestin memang senghaja diasuh untuk mencintai al-Qur’an, kerana al-Qur’an mengajar mereka untuk lebih berani.
Perkara ini sangat-sangat tidak disenangi oleh musuh, kerana mereka tahu 15 atau 20 tahun ke hadapan, kanak-kanak ini akan dewasa, akan menjadi pejuang bangsa, menjadi duri dalam daging kepada mereka. Kerana itu, setiap serangan ganas oleh musuh ke atas bumi Palestin dahulu mahupun sekarang kanak-kanaklah yang menjadi sasaran utama untuk dibunuh.
Satu contoh, dalam tengkarah antara musuh dan Palestin pada tahun 2008, musuh telah memfokus kepada kanak-kanak Palestin di tebing Gaza. Dalam serangan hanya tiga minggu, musuh telah membunuh 1,412 orang kanak-kanak. Tetapi kesedihan rakyat Gaza dengan hilangnya nyawa 1,412 kanak-kanak itu, menurut kajian, segera diubati dengan lahirnya 3,700 orang kanak-kanak dalam masa tiga minggu serangan tersebut. Dalam makna secara kasar, mati 1,000 berganti 3,000.
Inilah namanya kuasa Allah, musuh boleh saja membunuh sekian ramai, tetapi Allah akan menggantikannya dengan jumlah yang lebih ramai dari yang dibunuh itu. Begitu juga kita dapat menyaksikan mangsa-mangsa berlumuran darah dan diusung ke kuburan, tetapi Allah kata (lihat surah Al-Imran ayat 169) tafsirnya: “Jangan sangka orang-orang yang terbunuh (mati syahid) di jalan Allah itu mati, bukan! Tetapi mereka hidup di sisi (Allah) Tuhan mereka dengan beroleh rezeki dan mereka bergembira dengan rezeki tersebut…”
Ya, kita usah ragu dengan perkhabaran al-Qur’an ini. Allah sudah tunjuk bukti, bahawa orang-orang yang terkorban di jalan Allah, jasad mereka tidak reput. Orang pernah terkali kubur Saidina Hamzah, kaki Saidina Hamzah terkena cangkul masih sahaja memancutkan darah.
Dikisahkan juga, pada tahun 1932 Masihi, Raja Iraq yang bernama Shah Faisal, telah bermimpi ditemui oleh sahabat Nabi shallalahu ‘alaihi wa sallam, Huzaifah al-Yamani yang telah dikebumikan selama 1,300 tahun. Huzaifah berkata: “Wahai Raja! ambillah jenazah saya dan jenazah Jaber al-Ansari dari tepi Sungai Tigris dan kemudian kebumikan kembali di tempat yang selamat. Sebabnya, kerana kubur saya dan kubur Jaber sekarang sedang dipenuhi oleh air.”
Raja tidak menghiraukan mimpi ini, sehingga mufti besar pula didatangi oleh Huzaifah, juga dalam mimpi. Huzaifah bekata: “Wahai Mufti! Saya telah memberitahu raja dua malam sebelumnya, tetapi raja tidak peduli. Oleh itu, beritahulah raja supaya bersimpati sedikit untuk memindahkan jenazah kami.”
Diringkaskan kisah, raja pun bersetuju untuk menggali kubur dua sahabat ini. Tetapi sebelum itu, dengan titah perintah raja, satu siaran hendaklah dikeluarkan untuk memberitahu orang ramai bahawa pada tanggal 20 Zulhijjah tahun 1351 Hijrah bersamaan tahun 1932 Masihi, selepas sembahyang Dzohor, kubur dua sahabat ini akan dibuka. Maka berkerumunlah orang ramai, muslim dan bukan muslim untuk menyaksikan peristiwa ini, sehingga ibu kota Baghdad kelihatan penuh sesak. Apabila kubur-kubur itu dibuka, memang benar Subhanallah, kubur-kubur tersebut sedang dipenuhi oleh air, dan jenazah dua sahabat: Huzaifah al-Yamani dan Jaber Abdullah al-Ansari didapati masih utuh dan segar, padahal mereka telah dikebumikan selama 1,300 tahun. Allahu Akhbar!
Melihat ini, seorang berbangsa German telah mendekati mufti dan memegang tangan mufti sambil berkata: “Bukti apa lagi yang perlu dicari bahawa Islam memang agama yang benar. Sekarang juga, saya mahu memeluk Islam, dan tolong ajarkan kepada saya tentang Islam”.
Demikian antara kisah benar, yang membenarkan perkhabaran al-Qur’an tentang orangorang yang mati syahid. Sekarang, kita bercakap mengenai orang-orang Palestin yang mati kerana mempertahankan agama dan tanah air mereka. Nah, tidakkah juga namanya mereka itu mati syahid?
Ya, di hadapan mata kasar kita, mereka itu memang betul-betul nampak mati, mati diratahratah oleh bom-bom musuh, disiat-siat oleh peluru-peluru, yang jatuh di atas kepala, ke atas bangunan-bangunan, ke atas kediaman-kediaman, ke atas masjid, ke atas rumah sakit, sehingga ramailah rakyat menjadi mayat. Tetapi mayat-mayat itu cuma sekejap sahaja bernama “mayat” kemudian selepas itu di dalam kubur (alam barzakh) mereka itu hidup berbahagia di sisi Tuhan mereka.
Menurut kementerian kesihatan Palestin, sejak 7 Oktober 2023 hingga 12 Mei 2024 Masihi, mangsa korban di Gaza Palestin adalah seramai 35,034 orang terbunuh, diantaranya 14,944 orang adalah kanak-kanak dan 9,849 ialah kaum Hawa, semua mereka itu adalah berstatus syahid (mati syahid), nama sahaja mati, tetapi menurut al-Qur’an, mereka itu malah hidup berbahagia di sisi Tuhan mereka.
Para hadirin yang dihormati
Sedikit mengenai membangun perbandaran Islam mampan. Mampan ertinya berterusan bagus, indah dan selamat. Seperti membangun manusia, membangun perbandaran juga dikehendaki mengikut tuntutan Maqasid Syariah iaitu dengan memelihara agama, akal, jiwa, keturunan dan harta. Dalam makna, perbandaran Islam mesti selamat dan bersih dari sebarang jenayah dan maksiat.
Maqasid Syariah mahu supaya Bandar atau negeri yang dibangun itu penuh berisi dengan rahmat dan berkat, sehingga kita yang hidup di dalamnya, menikmati kehidupan sejahtera, aman dan selamat. Sebab itu dalam perbandaran Islam tidak boleh wujud kumpulankumpulan penjenayah yang mengancam nyawa dan harta benda. Tidak boleh berdiri kelabkelab malam, premis-premis judi, presmis-premis membuat, menjual dan menghidang arak dan lain-lain seumpamanya, yang bertentangan dengan dasar Maqasid Syariah.
Maqasid Syariah menjamin keselamatan semua, sama ada Muslim atau bukan muslim, termaksud binatang, tumbuh-tumbuhan dan bahkan benda-benda mati sekalipun.
Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya, bahawa Abu Hurairah radhiallahu anhu pernah mencadangkan kepada Nabi dengan berkata: “Wahai Rasulullah! Sumpahilah orang-orang musyrik itu.” Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku diutus bukan untuk melaknat, sebaliknya aku diutus hanya sebagai pembawa rahmat sahaja.”
Sebagai amanah dan peringatan, sebuah hadits menceritakan tentang seorang perempuan masuk neraka kerana mengurung seekor kucing dan tidak memberinya makan sehingga kucing itu mati.
Diriwayatkan lagi, pada suatu hari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam telah ternampak seekor burung sedang berpusing-pusing di sarangnya kebingungan. Nabi menyangka bahawa burung itu sedang mencari anak kecilnya yang hilang. Lalu Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengumpulkan para sahabat dan bertanya siapakah yang mengambil anak burung dari sarangnya? Salah seorang sahabat mengakui dialah yang mengambilnya. Lalu Nabi meminta sahabat itu untuk mengembalikan semula anak burung ke dalam sarangnya.
Sebelum pasukan tentera Islam bergerak ke medan perang, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasanya akan terlebih dahulu berpesan supaya jangan membunuh orang awam, lebih-lebih lagi kanak-kanak, kaum perempuan dan warga emas, dan jangan juga merosakkan tanam-tanaman dan merobohkan bangunan. Semua itu jika dilakukan, akan ditanya oleh Allah mengapa ia dilakukan? Bukan membunuh nyawa yang tidak berdosa sahaja yang akan ditanya itu, malah mengikut Amirul Mukminin Umar radhiallhu anh: “Jika sekiranya binatang baghal tercedera di Iraq kerana jalan yang berlopak-lopak, nescaya Allah akan tanya saya (selaku pemerintah) wilayah Iraq, mengapakah engkau tidak baiki jalan yang berlopak-lopak itu, wahai Umar?”
Begitu Islam menghendaki kita supaya memelihara nyawa dan perbandaran. Islam telah mengajar supaya kita jangan jadi Firaun dan Haman yang membunuh kanak-kanak dan juga jangan jadi Namrud yang melimparkan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam ke dalam api yang sedang menyala-nyala. Tetapi dalam sejarah moden, dunia sekarang sedang menyaksikan golongan penjahat yang lebih jahat daripada Firaun dan Haman dan Namrud, mereka membunuh kanak-kanak tidak kira lelaki atau perempuan, membunuh juga kaum hawa, warga emas dan siapa saja sampai puluhan ribu, dan tidak memadai setakat itu, mereka juga membakar dan meruntuhkan bangunan-bangunan, rumah-rumah kediaman, masjid dan hospital, yang menjadikan mereka tidak diragukan lagi adalah penumpah darah dan perosak negeri, harta benda dan perbandaran.
Allahuma Ya Allah, Ya Rahman, Ya Karim, Ya ‘Azim, Ya Muntakim! Mohon Tuhan kami selamatkan rakyat dan bumi Palestin, sebagaimana Tuhan kami menyelamatkan para Nabi dan umat-umat yang beriman di zaman silam.
Ampun beribu ampun, hamba kebawah duli tuan patek menjunjung ampun dan maaf, sekiranya terdapat sebarang kesilapan atau sorok langkah di sepanjang pembentangan ini. (*)
Penulis : BEP/Farli
Editor : Bambang